Ahad, 14 Mac 2010

Majlis Berendoi

14 Mar 2010 Kempulan Marhaban & Berendoi dari Qaryah Masjid Teluk Kumbar telah dijemput untuk mengadakan masjis berendoi di rumah En Tahir di Kg Masjid, Teluk Kumbar.Majlis ini jarang-jarang diadakan pada masa sekarang ini. Berendoi berasal daripada kata “endoi”, iaitu buaian yang lazimnya digunakan untuk menidurkan bayi atau kanak-kanak. Berendoi adalah bentuk permainan yang berfungsi sebagai upacara keagamaan. Lagu-lagunya adalah berunsur nasihat kepada anak-anak dan juga ibu bapa. Mengikut sumber, berendoi berasal dari negeri Perlis bermula sekitar tahun 1930-an. Tokoh berendoi negeri Perlis ialah Ku Zainal Ku Abdullah yang sudah terlibat dalam kesenian ini selama 15 tahun. Peralatan persembahan ialah sebuah “endoi” atau buaian digantung di tengah-tengah rumah, air satu jag dan juga sirih pinang yang diletakkan di dalam tepak. Upacara berendoi ini boleh diadakan pada siang atau malam hari. Berendoi dimulai dengan Maulud dan lagu yang didendangkan ialah Selawat Nabi kemudian lagu-lagu lain. Ahli sesuatu kumpulan berendoi sekurang-kurangnya empat orang. Isi lagu-lagu berendoi berupa puji-pujian kepada nabi dan juga nasihat kepada kanak-kanak dan juga ibu bapa. Jumlah lagu yang didendangkan pada setiap kali persembahan bergantung pada kehendak tuan rumah. Untuk pakaian persembahan, selalunya kaum lelaki memakai baju Melayu, bersongkok putih atau berserban dan berkain. Jika kumpulan berendoi itu terdiri daripada kaum wanita sahaja, maka pakaiannya adalah seperti mana yang lazim dipakai oleh wanita hari ini, iaitu berbaju kurung dan bertudung. Berendoi berfungsi alat hiburan dan pengajaran serta nasihat supaya anak mendengar nasihat ibu bapa. Nasihat bercorak agama disampaikan melalui lagu-lagu Nabi Muhammad dan Rukun Islam yang menceritakan sejarah nabi dan kehidupan nabi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan